Langkah Dubai diyakini tidak akan berjaya dilakukan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia berikutan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan 150 Ahli Parlimen ketika ini.

Beliau berkata, ada laporan mendakwa Langkah Dubai sudah mempunyai Akaun Bersumpah (SD) mencukupi namun hakikatnya Akta Lompat Parti yang sudah berkuatkuasa tidak memungkinkan ia berlaku.

"Walaupun ada ketua pemuda sebuah parti politik menyatakan bahawa dokumen sokongan lima ahli Parlimen kepada PMX sebelum ini boleh dijadikan asas untuk menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri yang baharu, saya berpandangan itu tidak akan berlaku.

"Ini kerana kita (Kerajaan Perpaduan) ada 150 Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan PMX.

"Maka saya fikir eloklah mereka yang mempunyai angan-angan besar jadi PM atau partinya akan melonjakkan seseorang jadi PM, supaya jangan lagi buang masa.

"Rakyat sudah muak. Belajar dari pengalaman satu penggal tiga Perdana Menteri yang lalu.

"Kalau mahu atau bercita-cita untuk menebuk atap pun, tebuklah atap itu apabila sampai masanya iaitu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketika itu tebuklah seluas-luasnya. Insya-Allah mereka tidak akan turun ke rumah yang ditebuk atap itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyaksikan penyerahan sistem penapisan mudah alih di Sungai Bang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak meneruskan naratif kononnya Kerajaan Perpaduan goyah dan bakal tumbang.

Katanya, ia hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

"Saya mahu Ahli Parlimen yang kononnya taat setia kepada negara, mereka mesti mendokong apa yang dilakukan PMX untuk mendapat keyakinan pelabur asing.

"Jangan jejaskan keyakinan itu dengan mengatakan kerajaan yang ada sekarang goyah dan mahu bertukar," katanya.