Pemimpin DAP dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan serta cadangan menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Setiausaha UMNO Johor,

Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata kenyataan dan cadangan berkaitan Islam tidak seharusnya dikeluarkan sewenang-wenangnya sehingga mengeruhkan keadaan dan dianggap melampaui batas.

Apatah lagi, katanya cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, disifatkan sebagai melampau oleh masyarakat Islam negara ini.

"Bagi umat Islam, kita tak perlukan pakar undang-undang bukan Islam untuk memberi nasihat atau bantu jawatankuasa dalam menggubal undang-undang syariah, apatah lagi ia tidak membabitkan orang bukan Islam malah negara memiliki ramai pakar perundangan Islam dalam bidang Syariah yang boleh dirujuk.

"Orang Melayu dan umat Islam di negara ini tidak memerlukan campur tangan daripada bukan Islam terutamanya orang politik yang mewakili kaum lain kerana ia hanya akan memecah belahkan perpaduan, keharmonian antara kaum dan menimbulkan kesangsian dalam kalangan umat Islam sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Koo Ham dilaporkan berkata langkah melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau, menasihatkan pemimpin DAP supaya lebih cakna dan berhati-hati demi menjaga hubungan sesama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, apatah lagi sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO sebelum ini mengambil pendirian tidak mahu mengulas isu dimainkan DAP terutama dalam soal Perdana Menteri bukan Melayu dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebelum ini, bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang cuba bangkitkan isu bukan Melayu boleh jadi PM. Selepas, itu Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai juga bangkitkan semula isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang perlu dilaksanakan semula.

"Dalam dua isu itu, UMNO masih boleh ambil sikap berdiam diri daripada melayan provokasi pemimpin DAP, kerana kita mahu jaga hubungan antara parti dalam kerajaan.

"Tetapi kenyataan pemimpin DAP secara berterusan menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam negara ini terutama Koo Ham, kita sifatkan melampaui batas dengan kenyataan beliau itu seolah-olah mahu campur urusan agama Islam, kita tak boleh berdiam diri lagi," katanya.