Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat untuk terus bersama kerajaan membangunkan agenda Malaysia Madani pada tahun 2024.

Presiden Umno itu berkata, tahun 2023 telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan pelbagai kejayaan dan perkembangan positif negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Alhamdulillah, tahun 2023 telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan pelbagai pencapaian dan perkembangan positif negara di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan perdana menteri.

“Terbukti kini, melalui semangat perpaduan dan kestabilan politik yang terbentuk telah melancarkan usaha mensejahterakan rakyat dalam segenap aspek.

“Ayuhlah kita bersama melangkah ke gerbang tahun 2024 dengan azam dan tekad baru demi menjulang kejayaan berterusan dan memartabatkan agenda Malaysia Madani,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid turut mendoakan rakyat dan negara dilimpahi nikmat dan keberkatan dari Allah SWT serta dilindungi daripada sebarang musibah yang merencatkan usaha kemakmuran dan kesejahteraan.