Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa kesal dengan kegopohan seorang pendakwah yang didakwa berbahasa kasar dan membuat tohmahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesat serta jahil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menyifatkan tuduhan itu sangat ekstrem dan keterlaluan, hakikatnya Perdana Menteri tidak menyatakan pemuda Ashabul Kahfi itu sebagai golongan tidak beriman.

Beliau berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya juga mengajak penjawat awam mengambil iktibar dari kisah terbabit serta mengajak seluruh rakyat agar menjadi warga negara yang berprinsip selaras dengan dasar kebenaran dan keadilan dalam kehidupan berpandukan keteguhan keyakinan pemuda al-Kahfi.

Katanya, huraian terhadap konteks peristiwa itu juga adalah tepat sebagaimana rujukan sumber-sumber tafsir dan tulisan ilmiah di mana kisah Ashabul Kahfi berlaku di zaman pemerintahan kaum Nasrani atau Kristian.

"Ia juga selari seperti penjelasan dibuat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu pemuda Al-Kahfi yang boleh dirujuk kepada Irsyad Al-Hadith Siri ke-50: Kisah dan Bilangan Ashabul Kahfi pada April 2016 dan Bayan Linnas Siri ke-286: Adakah Ashab al-Kahfi Beragama Kristian? Disember 2023," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial seorang penceramah terkenal dari Terengganu mengupas ucapan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.

Mohd Na'im menggesa umat Islam negara ini agar sentiasa merujuk isu-isu dan permasalahan keagamaan kepada pihak berkuasa agama Islam seperti pejabat atau Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang berautoriti dalam perkara berkaitan.

Menurutnya, agamawan di negara ini juga dinasihatkan agar bersikap cermat, memelihara adab dalam menyampaikan dakwah, tawaduk dalam menyebarkan risalah agama agar tidak terjebak dengan penyakit takbur dengan ilmu yang dimiliki.

Katanya, pendakwah perlu menghayati nilai hikmah demi memelihara kemaslahatan perpaduan masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan sejahtera.

"Sebarang ucapan dan ceramah yang berbaur sentimen perpecahan dan kebencian sesama sendiri adalah perlu dihentikan," katanya.