Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memilih atau menentukan penyandang jawatan Perdana Menteri selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pemilihan Perdana Menteri bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Di bawah peruntukan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen yang baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Secara amalannya juga individu yang dilantik itu ialah ketua parti yang mempunyai majoriti di Parlimen dan dalam konteks di Malaysia ini sejak lebih 60 tahun merdeka, ketua parti yang memiliki majoriti itu adalah parti Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nik Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), sememangnya peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang bukan Melayu dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara khusus kriteria menjadi Perdana Menteri mestilah berbangsa Melayu dan beragama Islam tetapi pemilihan itu akhirnya akan berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas mengenai cadangan pindaan perlembagaan agar hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri pula, Nik Ahmad Kamal berpandangan, perlu ada sebab yang rasional untuk membuat pindaan berkenaan.

“Kita telah mengamalkan peruntukan yang sedia ada ini sejak tertubuhnya Malaysia dan tidak ada sebarang isu timbul, jadi kalau kita nak ubah kena ada rasionalnya.

“Jadi ketika ini mungkin ada yang bimbang akan jawatan Perdana Menteri ini kerana kemungkinan timbul satu keadaan satu hari nanti apabila selepas pilihan raya tidak ada parti Melayu yang menang majoriti ekoran parti Melayu berpecah,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, terpulang kepada konsensus politik untuk menentukan sama ada wajar atau tidak peruntukan perlembagaan berkaitan perkara tersebut dipinda.

“Diharap situasi ini juga membuka mata kepada semua khususnya parti-parti Melayu untuk melihat semula kedudukan mereka sekarang. Adakah mereka perlu terus berpecah belah atau melihat ke depan (kembali bersatu).

“Kalau tiada (kesedaran) kemungkinan besar orang Melayu akan hilang majoriti politik mereka dan memberi ruang kepada orang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri,” tegasnya seperti laporan dari portal Sinar Harian.