Presiden Umno berkata, kecenderungan dilihat berlaku di Kedah, Kelantan, dan Terengganu itu berdasarkan perubahan dibawa kerajaan perpaduan berdasarkan gaya kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kita sedang menyusun langkah bersama rakan-rakan lain, kita berada pada tahap memperbaiki kelemahan lalu. Saya yakin kesilapan pengundi pada PRU15 akan diperbaiki kerana ada penyesalan apabila berlaku pertukaran kerajaan (yang tidak sama di persekutuan) di negeri terbabit.
“Kita dapat lihat kecenderungan perubahan haluan sokongan mereka daripada anti-pembangunan kepada pro pembangunan di bawah kerajaan perpaduan pimpinan perdana menteri ketika ini,” katanya menurut Harian Metro.
Enam negeri, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dijangka mengadakan PRN selewat-lewatnya Julai, selepas penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing tamat tempoh.
Sementara itu, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan, pihaknya dalam menentukan kerusi yang bakal ditandingi MCA dan MIC menjelang PRN.
Katanya, BN akan cuba memenuhi permintaan semua parti komponen terbabit, namun segala keputusan akan dibuat secara bersama parti di bawah Pakatan Harapan (PH).
“Malam tadi berlangsung perbincangan bersama parti komponen BN, saya berikan tanggungjawab ini kepada Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk mendengar dan mengambil apa jua pandangan dan permintaan rakan komponen.
“Apabila selesai rundingan di peringkat negeri, kita akan bawa ke Dewan Tertinggi BN dan keputusan akhirnya akan diputuskan secara bersama Pengerusi BN dan PH,” katanya.
