Perdana Menteri sekali gus menempelak kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang.
"Apa saja yang dikata oleh Presiden PAS saya yakin gabungan ini akan bertahan hingga habis penggal.
"Ia (kenyataan itu) tidak lebih hanya retorik politik," katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia secara maya sempena Sesi Pemukiman Wisma Putra.
Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Semalam, Abdul Hadi mempertahankan kenyataannya berhubung ramalan Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam tempoh terdekat dan menyifatkan tindakan menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa dalam politik.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, PN berhak meneruskan rancangan menumbangkan kerajaan walaupun ada pihak meremehkan usaha mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau memberikan mesej yang jelas kepada rakyat bahawa perlunya memandu landasan baharu dalam mengemudi negara.
"Kita harus lakukan ini dan pastikan perubahan berlaku yang mana adalah penting untuk menyelamatkan negara daripada masalah yang membelenggu negara, ini bukan lagi soal pilihan," katanya.
Selain itu, Anwar juga mahu pentadbiran pimpinannya mempertahankan isu tata kelola yang baik.
"Semasa sidang Parlimen pagi tadi, saya berbicara mengenai tebatan banjir dan projek lain.
"Saya sudah mengarahkan semua keputusan sebelum ini berhubung rundingan terus dihentikan serta-merta kecuali projek yang sangat memerlukan dan kritikal boleh diteruskan dengan cepat namun tender yang teratur.
"Mengapa skandal besar ini berlaku terlalu lama bukan saja oleh tokoh politik, jadi mana golongan profesional dan ahli akademik. Skandal ini tidak akan berlaku jika kita mempunyai hati nurani untuk menyuarakan dan hentikan semua ini," katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga mengajak rakyat untuk bersama-sama melakukan sesuatu yang boleh menjadikan negara kembali hebat.
"Jadi pegawai dan diplomat kita juga harus menunjukkan contoh maksudnya menjadi pemimpin yang kompeten, menjalankan tadbir urus baik yang mana etika dan nilai sangat dipentingkan," katanya.
