Agenda memperkukuh semula UMNO perlu diutamakan setelah ‘terpukul’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding melayani kehendak individu yang bersifat ‘gunting dalam lipatan,’ kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi pada PRU15.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata ahli UMNO setiap peringkat perlu menggunakan pendekatan kebijaksanaan politik dan tatasusila dalam usaha pengukuhanan parti.
“Matlamat untuk menyatupadukan parti secara majoriti adalah lebih utama daripada melayani satu, dua gunting di dalam lipatan yang tidak pernah berhenti untuk menggunting agar lipatan itu berderai,” katanya pada program Naratif Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di Angkasapuri Kota Media.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sebaliknya mengajak ahli UMNO untuk bermuhasabah dan bersatu dari segi pemikiran, hati nurani serta tindakan bagi mengembalikan semula kekuatan parti yang sebelum ini menjadi tunjang memartabat bangsa, agama dan negara.
Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO 2022 dijadual berlangsung esok hingga 14 Januari ini selepas ditangguhkan ekoran PRU15.
